Social Icons

Tuesday, November 13, 2012

Islam, Rahmat Buat Seluruh 'Alam

“Islam, Rahmatan lil ‘alamin”, satu adagium yang indah dan mendalam buat mereka yang mahu berfikir, merenung dan menghayatinya.

Justeru kita sebagai seorang Muslim, apakah kita benar-benar menghayati semangat rahmatan lil ‘alamin tersebut? Ataupun ianya hanyalah slogan yang hinggap di bibir tanpa dihayati dan dinikmati oleh jiwa-jiwa yang mempercayai Tuhan yang Satu?

Dan sejauh manakah kita mendalami, memahami dan mempraktikkan misi suci tersebut; yang kerananya diutuskan revolusioneer agung yang dicintai dan dikagumi manusia sejagat, yang kerananya kita berbahagia dengan  kehidupan dan pegangan kita hari ini, yang kerananya jugalah hak-hak manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk Tuhan seluruhnya dijaga dan dipelihara?


Terungkap dalam Kitabullah, jelas menyatakan bahawa Nabi Muhammad Saw diutus tidak lain untuk membawakan rahmat buat sekalian alam (wa ma arsalnaka illa rahmatan lil ‘alamin)[1]. Inilah misi agung pengutusan Rasulullah Saw dalam merobah tatacara dan pandang sarwa masyarakat dunia.

Apakah itu Islam? Apakah makna rahmah? Dan apakah pula yang dimaksudkan dengan ‘alamin?


Islam sepertimana yang sering diungkapkan merupakan ketundukan dan kepatuhan. Bahkan ada yang memperdengungkan bahawa Islam adalah sebagai suatu sistem yang padanya manusia perlu tunduk. Pelbagai persoalan dan tanggapan diberikan bagi memberi makna kepada apakah sebenarnya Islam. Apakah ianya suatu ideologi atau ianya sistem, atau budaya, ataupun suatu tatacara hidup?

Kembali kepada persoalan makna Islam tersebut,(tanpa sedikitpun menafikan pendapat yang lain)  penulis lebih selesa dengan pendapat yang menyatakan makna Islam tersebut adalah keamanan (peace).  Apa yang kita bawa dan pegang adalah menjurus kearah keamanan. “Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan (udkhulu fi al-silmi kaffah)”[2] membawa maksud masuklah kamu kedalam keamanan yang diberikan Tuhan buatmu.[3]

Yang dimaksudkan dengan keamanan adalah keamanan dalaman dan keamanan luaran, yang mana keamanan dalaman hanya boleh dirasai oleh pengalaman rohani masing-masing dengan Khaliq yang vertikal sifatnya. Manakala keamanan luaran, secara horizontal, adalah keamanan yang kita bawa ketika seharian bersama makhluk amnya.

Rahmah jika diterjemah kedalam bahasa Inggeris boleh dikaitkan dengan perkataan Mercy atau Compassion, yang membawa erti suatu kebaikan dan kemaafan yang ditunjukkan oleh mereka yang berkuasa atau suatu perasaan simpati yang mendalam terhadap penyiksaan  yang kerananya menimbulkan keinginan yang tinggi untuk menolong mengeluarkannya dari penyiksaan tersebut.

Juga jika kita melihat perkataan rahmah dari sudut bahasa Arab boleh dikatakan perkataan tersebut diambilkan dari pengertian “Rahim” ibu, dengan demikian secara tidak langsung membawa maksud manusia semuanya bersaudara. Bahkan ada yang menterjemah bahawa pengutusan Rasulullah adalah sebagai penyambung kepada tali persaudaraan (silaturrahmi).[4]


Demikianlah mesej yang boleh kita kutip dari Surah Al-Hujurat ayat 13 yang menekankan peri pentingnya amalan saling berkenal-kenalan yang menjadi mukaddimah bagi setiap perhubungan sekaligus membuka ruang buat manusia sejagat untuk saling memahami dan menyayangi. Demikianlah, sesungguhnya tiadalah terwujudnya toleransi dan kasih sayang tanpa saling mengetahui dan memahami antara satu sama lain.

Mungkin pembaca sudah arif akan perihal makna ‘alamin. Pembaca juga mungkin sangat mengerti perihal skop yang sering dijumpai dalam Al-Quran yang membezakan “Wahai orang-orang beriman” dengan “Wahai sekalian manusia”. Nah, demikianlah cantiknya Islam itu sendiri. Islam tidak sahaja membawa rahmat kepada penganutnya, malahan turut membawa rahmat kepada alam sejagat. Kerana itu, Islam adalah jelmaan kasih dan sayang Tuhan. Yang berhak menikmati rahmatNya bukan sahaja kita, Muslimin, tetapi juga manusia seluruhnya, termasuk yang non-Muslim.

Jika kita meneliti sejarah kaum Muslimin terdahulu, kita akan mendapati bahawa Islam sangat menitik beratkan toleransi antara kaum bahkan Islam yang menjadi penjamin terhadap keamanan dan keadilan sesebuah masyarakat. Ini dapat dilihat melalui Surah Al-Maidah ayat 8, wasiat Rasulullah terhadap ahlul zimmah serta Uswah hasanah baginda ketika berhubungan dengan non-Muslim serta sikap para Khulafa Ar-rasyidin terhada ahlu zimmah.[5]

Menurut Dr. Siddiq Fadzil (2012):
“Sebagai agama rahmah, Islam selamanya bersikap ramah terhadap penganut agama-agama lain. Perbezaan-perbezaan memang jelas ada, tetapi Islam menyikapinya secara damai berasaskan prinsip lakum dinukum wa liya din (kamu dengan agamamu, aku dengan agamaku). Sikap berdamai dalam perbezaan itulah yang dinamakan tasamuh al-diniy (toleransi antara agama)…. Dengan segala kejujuran, perbezaan harus diterima seadanya sebagai perbezaan, tetapi ia tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam hal-hal yang dapat membawa kebaikan bersama.”[6]

Itulah fikrah Islami yang perlu kita pegang, fikrah insklusif yang berteraskan nilai wahyu dan rasional yang terpandu. Bukannya fikrah literalis, rigid dan terpandu oleh emosi serta sentimen semata.  Sikap ethnocentrism/ religiocentrism yang melampau perlulah kita buang kerana ia bukanlah dari ruh ajaran Islam bahkan hanyalah tafsiran peribadi kita yang tertutup dek sikap ego dan dangkal kita terhadap pandangan alam keatas umat manusia sejagat. Marilah kita bersama dalam menghentikan polemik yang dipandu sikap ekstrim. Kerana ekstrim itulah musuh utama kita, musuh kemanusiaan sejagat. Biarpun jika kita betul  akan tetapi kerana kita terlampau ekstrim, maka kita tetaplah dalam lingkungan yang salah dek sikap ekstrim yang mengilangkan keindahan dan kebenaran yang kita miliki.


Kerana itu Islam sangat meraikan kepelbagaian. Kerana kepelbagaian itu fitrah dan sunnatullah. Bahkan Al-Quran mengungkapkan kepelbagaian itu sebagai ayati’Llah (tanda-tanda ketuhanan) yang mempunyai rahsia dan hikmah bagi yang mahu berfikir dan menelitinya.[7] Dan sikap kita perlulah menjurus kepada positif-apresiatif dalam hal ini. Hal inilah ditegaskan oleh Dr. Tariq Ramadan bahawa kesejagatan bukanlah suatu keseragaman, tetapi ia adalah kepelbagaian yang menyatu (Universality is not uniformity, it’s diversity with unity).[8] Sikap saling hormat-menghormati, menghargai dan bantu-membantu bakal menatijahkan “kepelbagaian” yang menyatu tersebut.

Akhir sekali penulis ingin membawakan sebuah kata-kata yang sangat menyentuh hati nukilan tokoh terkemuka Turki, M.Fethullah Gulen:
"Applaud the good for their goodness, appreciate those who have believing hearts, and be kind to them. Approach unbelievers so gently that their envy and hatred melt away. Like a Messiah, revive people with your breath. Remember that you travel the best road and follow the Prophet, an exalted guide. Be mindful that you have his guidance through the most perfect and expressive revelation. Be fair-minded and balanced in your judgment, for many people do not enjoy these blessings."[9]

Sesungguhnya manusia itu adalah cerminan buat manusia yang lain. Dan ingatlah misi kita, sampaikan, sebarkanlah keamanan kepada dunia. Ayuh bertindak sebagai “agent of peace”. Dan sematkanlah dihati bahawa sesungguhnya, “Islam adalah Rahmatan lil ‘alamin”!




[1] Al Quran 21:107
[2] Al Quran 2:208
[3] Syarahan Dr Tariq Ramadan tajaan Penang Institute bertajuk “Islam, Democracy & Human Right” pada 17 July 2012.
[4] Abdurrahman Wahid (2006). Islamku, Islam Anda, Islam Kita. Jakarta: The Wahid Institute, p111.
[5] Muhd Zainul Asri Mohd Romli (2012). Bingkisan Fikrah Pejuang. Kedah: Pustaka Paksi, p92-93.
[6] Siddiq Fadzil (2012). Islam dan Melayu: martabat umat dan daulat rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah, p82.
[7] ibid, p83.
[8] Syarahan Dr Tariq Ramadan bertajuk “To achieve muslim unity do not work for uniformity”.
[9] M. Fethullah Gulen (2004). Toward Global Civilization of Love and Tolerance. New Jersey: The Light Inc. , p31.    

No comments:

Post a Comment