Social Icons

Thursday, November 15, 2012

Sekitar Pemerkasaan Masyarakat; Kerajaan vs Masyarakat.


Kerajaan merupakan entiti yang diamanahkan oleh sekelompok masyarakat dalam melaksanakan pemerintahan, pengurusan sumber, ekonomi, pemerkasaan rakyat dan hubungan dengan masyarakat luar. Dengan erti kata lain tugas kerajaan adalah untuk mengurus dan mentadbir masyarakat supaya masyarakat dapat hidup dalam suasana yang mereka inginkan. Kerana itu, kerjaan dibekalkan dengan alatan yang dipanggil kuasa bagi memudahkan tugasnya.



Masyarakat pula merupakan sekelompok manusia yang hidup bersama yg berkongsi suatu persamaan dari sudut lokaliti, bangsa, nilai dan lain-lain.  Masyarakat dipandu oleh nilai dan aspirasi yg dikongsi bersama, itulah alatan buat entiti yg bernama masyarakat.


Persoalan. Entiti manakah yang bertanggungjawab dalam membangun dan menguatkan masyarakat? Kerajaan atau masyarakat itu sendiri? Perubahan manakah yg dianggap tulen, dan lebih kuat bertahan?


Dalam menjawab persoalan ini, pelbagai idea dan model telahpun dibincang dan diprojeksikan sejak berzaman-zaman. Malahan wacana ini juga seringkali menyaksikan pertentangan yg sengit antara pelbagai pihak hingga ke tahap menumpahkan darah.

Ramai percaya dengan menaiki tampuk pemerintahan, segala perubahan malah pemerkasaan dapat direalisasikan. Malah tidak mengejutkan ada yang beriman bahawa hanya dengan menguasai takhtalah segala agenda pemerkasaan dapat dicapai. Kepercayaan ini benar  dalam pengamatan logik. Ia besandarkan asbab kuasa yang dipegang kerajaan, maka kerajaan mampu membuat apa sahaja yang ditentukan. Namun, adakah ianya akan menatijahkan sebuah pemerkasaan yg tulen? Adalah ianya mampu bertahan?

Saya percaya, tugas kerajaan bukanlah untuk merobah dan memperkasakan masyarakat secara direct. Tugas kerajaan adalah untuk menyediakan suasana yang kondusif bagi tujuan tersebut. Kenapa? Kerana jika kerajaan yang mewujudkan perubahan tersebut secara direct, maka dikhuatiri kuasa yang diamanahkan kepadanya akan digunakan untuk memaksa masyarakat tunduk kepada kemahuan kerajaan tersebut.

Kita percaya bahawa pemaksaan bukanlah suatu medium yang baik untuk mewujudkan perubahan dan pemerkasaan. Namun kita tidak menafikan bahawa proses outside-in diperlukan bagi menatijahkan sesuatu perubahan, tapi bukanlah sekuat inside-out. Apatah lagi jika ianya dilakukan dengan pemaksaan. Pemaksaan merupakan kata lawan kepada kebebasan dalam memilih. Sedangkan kebebasan memilih itu merupakan hak yang dijamin kepada seluruh manusia. Tanpa pilihan, tiadalah taklifan(tanggungjawab) buat seseorang, bahkan ia layak untuk tidak dipanggil sebagai manusia. Memilih untuk jadi baik amat berbeza daripada terpaksa jadi baik atau dipaksa menjadi baik.


Dengan kebebasan maka autonomi akan terjamin. Autonomi dalam erti kata kebolehan dan kompitensi untuk memilih dan berbuat sesuatu tanpa perlukan bimbingan dan suruhan daripada orang lain. Kata mudahnya adalah berdikari.  Tidak perlu kita berpuas hati apabila sesorang manusia melakukan sesuatu kebaikan dihadapan mereka yang berautoriti, akan tetapi hasil yang mahu dicapai dalam melahirkan manusia yang berdikari adalah manusia yang mampu melakukan sesuatu kebaikan tanpa kehadiran penujuk ajar atau mereka berautoriti tersebut.


Maka untuk melahirkan masyarakat kerautonomi, seharusnya ianya datang dengan kesedaran sendiri dalam lubuk teras masyarakat yang terdalam yang kemudiannya memancar kepada seluruh masyarakat umum, bukannya dengan pemaksaan dari mereka yang berkuasa kepada masyarakat.  Disini dapat dilihat perlunya suatu kumpulan dalam masyarakat yang sedar dan insaf akan perlunya proses pemerkasaan masyarakat melalui penerapan pemahaman yang mendasar dan jelas kepada masyarakat, sekaligus meningkatkan darjat nilai dan budaya masyarakat itu sendiri.

Kembali kepada peranan kerajaan dalam pemerkasaan masyarakat. Seperti yang disebut sebelum ini, tugas kerajaan adalah memastikan suasana perubahan dan pemerkasaan itu diperlihara dan dalam masa sama mewujudkan suasana yang kondusif bagi merangsang proses tersebut. Disini dapat dilihat bahawa kerajaan juga merupakan pemain yang penting dalam proses tersebut kerana mereka juga terlibat secara indirect dalam proses tersebut.

Persoalan. Apakah yang dimaksudkan dengan suasana yang kondusif dan tanggungjawab secara indirect tersebut? Suasana yang kondusif ini secara amnya merujuk kepada satu iklim yang tepat kepada sesebuah misi tersebut dapat dicapai. Ia meningkatkan kemungkinan terhadap pencapaian matlamat. Dalam hal ini, proses terhadap matlamat ingin dicapai adalah pemerkasaan masyarakat. Maka tugas kerajaan dalam skop ini adalah untuk menyokong dan bertindak adil terhadap mana-mana entiti yang memperjuangkan pemerkasaan masyarakat serta menolak apa sahaja unsur-unsur yang menafi, menghalang dan menyekat proses pemerkasaan tersebut.


Dalam bidang tugas menyokong dan bertindak adil, unsur yang perlu diterap merupakan unsur nilai etika dan keterbukaan. Kerajaan pertamanya perlu terbuka dalam menghadapi masyarakat. Norma masyarakat kini terdedah kepada kepelbagaian. Dalam satu masyarakat yang berkongsi lokaliti dan kewargaan, wujud juga subset-subset masyarakat yang pelbagai sebagai contoh masyarakat tergerak atas dasar bangsa, nilai dan agama. Kerajaan perlu sedaya upaya untuk mewujudkan persamaan dan tidak cenderung kepada mana-mana pihak atas dasar kesamaan yang dikongsinya. Suasana kompitetif antara subset masyarakat tersebut sepatutnya diraikan dan diharmonikan bukannya disekat, ditutup dan disempitkan kepada satu. Jika budaya sekat tersebut yang dilaksanakan makanya ianya tidak ubah seperti sikap Firaun dan pemimpin-pemimpin autokratik yang lain yang gagal menghayati apatah lagi menghormati kepelbagaian yang wujud.


Kuasa yang diberikan oleh masyarakat kepada kerajaan adalah merupakan kepercayaan rakyat kepada kerajaan untuk menolak kemudharatan. Namun apakah atas alasan menolak kemudharatan, maka kerajaan boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa bagi menyekat apa sahaja entiti yang kononnya dikatakan ejen kepada kemudharatan tersebut? Disitulah fungsi kebebasan dan konsultasi diperlukan. Kadangkala perbezaan disalah anggap sebagai kemudharatan, ini merupakan kesalahan yang sangat jelas.  Perbezaan sepatutnya diselesaikan secara harmonis dan melalui perbincangan dan pertukaran pendapat.


Justeru apakah yang boleh dijustifikasikan sebagai kemudharatan tersebut? Secara tuntas, kemudharatan dapatlah disimpulkan sebagai apa sahaja yang dipersetujui oleh masyarakat berdasarkan rasionaliti tentang apa sahaja perbuatan yang menyalahi etika dan moral dalam masyarakat. Kezaliman, rasuah, pecah amanah, persengketaan, monopoli dan lain-lain merupakan beberapa tema yang boleh dikategorikan sebagai mudharat buat masyarakat.


Di pengakirannya, kedua-dua entiti, kerajaan mahupun masyarakat memainkan peranan yang besar dalam pemerkasaan masyarakat. Kerajaan dengan pendekatan indirectnya, manakala masyarakat dengan pendekatan mereka yang tersendiri. Sinergi tersebutlah yang diperlukan bagi memastikan aspriasi masyarakat yang progresif dapat direalisasikan. Wallahu’alam.

Shuhaib Ar Rumy Bin Ismail.
Indera Mahkota, Kuantan.
16 Nov 2012; 1.35am

No comments:

Post a Comment