Social Icons

Saturday, June 16, 2012

Pembinaan Masyarakat Sivil: Satu Lontaran Ide


Masyarakat sivil merupakan satu medium permulaan yang baik untuk membentuk dan membina sebuah masyarakat yang progresif dan tinggi nilainya.

Masyarakat sivil seperti yang dinyatakan oleh Edward Shils (1992) adalah : “The idea of civil society is the idea of a part of society which has a life of its own, which is distinctly different from the State, and which is largely in autonomy from it. Civil society lies beyond the boundaries of the family and clan and beyond the locality.”[1]

[Ide masyarakat sivil adalah idea sebahagian masyarakat yang mempunyai kehidupan yang tersendiri, yang berbeza dari Negara(kerajaan), dan yang sebahagian besarnya dalam berautonomi daripadanya. Masyarakat sivil adalah melangkaui sempadan keluarga dan puak(bangsa) dan juga melangkaui kawasan.]

Mungkin pengertian yang paling mudah mengenai masyarakat sivil adalah dengan melihatnya sebagai  "Third Sector", yang berbeza dari kerajaan dan perniagaan. Ia juga merujuk kepada ruang yang wujud di antara keluarga dan Negara. Nilai-nilai yang dianggap sebagai komponen penting dalam masyarakat sivil menurut Dr.Jasser Auda (2007) adalah toleransi, kerjasama, kesukarelawanan, dan pemerkasaan.[2]
 
Satu bentuk masyarakat sivil yang bersifat partisipatif.
Dalam memulakan proses revolusi minda ataupun revolusi moral ditengah-tengah masyarakat yang mengalami runtuhan moral disamping terbiasa dengan sikap 'aku tidak pedulisme', kaedah penghukuman ataupun penerapan undang-undang yang tegas daripada pihak kerajaan bukanlah satu bentuk tindakan yang bijak.

Hubungan yang harmoni antara pihak yang berautoriti(kerajaan) dan masyarakat harus wujud  demi memastikan atmosfera masyarakat sivil dapat teradaptasi dan mencambahkan hasil yang lebih progresif. Hal yang demikian akan terlaksana jika pihak kerajaan dapat memahami had limitasi kuasanya yang ada, atau paling tidak, membezakan antara perkara yang wujud dalam ruangan esekutif, ruangan masyarakat dan ruangan keagamaan.

Sebagai contoh, kita lihat sahaja sikap Rasulullah apabila berhadapan dengan satu isu yg bakal menentukan seseorang insan itu islam atau tidak. Diriwayatkan Imam Abu daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad Ibn Hambal yg bermaksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah r.a. bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda s.a.w. tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda s.a.w. (berkenaan hak penjagaan kepada anak tersebut). Sabda Baginda s.a.w. kepada mereka berdua: “Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih (antara) kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah: Si ayah diletakkan di satu sudut, dan si ibu juga di satu sudut (yang lain) dan budak tadi diberi pilihan. Didapati budak itu bergerak ke arah ibunya. Maka Baginda s.a.w. berdoa: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepadanya”. Kata Abdul Humaid bin Salamah: Maka budak itu kembali kepada ayahnya.[3]

Di dalam hadith tersebut, kita dapat melihat bahawa Rasulullah telah memainkan dua peranan yang berbeza yg perlu ada bagi seorang hakim yg mukmin. Sudah tentulah sebagai seorang Rasul, Rasulullah sangat inginkan umatnya diselamatkan daripada bahaya kekufuran, namun itu tidak menghalang Baginda untuk berlaku adil. Sebagai seorang hakim, Baginda bersikap tidak memihak ataupun bais walaupun melibatkan perkara yang bakal menentukan aqidah seseorang. Di satu sudut yang lain sebagai seorang Rasul, baginda mendoakan agar budak tersebut diberikan hidayah oleh Allah s.w.t.
Kita dapat lihat bahawa wujudnya ‘separation of power’ dalam hal ini. Begitu jugalah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak berautoriti(kerajaan) dalam hal-hal yang melibatkan dakwah dalam masyarakat majmuk. Dalam pada masa yg sama, masyarakat sivil adalah aktor utama yang mencorakkan pemikiran masyarakat terutamanya bagi Islamis, yang mana perlu memperkasakan agenda dakwahnya tanpa perlu bergantung harap pada kerajaan sepenuhnya.

Persoalannya, sejauh manakah ketelusan dan survival ruang masyarakat sivil dapat dijamin haknya oleh pihak berautoriti(kerajaan)? Bersediakan masyarakat Malaysia untuk mewujudkan ruang masyarakat sivil yang progresif dan kerajaan yang sekular?

Pihak kerajaan perlulah menjadi pentadbir dan pengelola kepada rakyatnya. Kalaupun kerajaan yang diimpikan adalah kerajaan Islam, ianya tidak lari daripada konsep maqasid syariah itu sendiri. Paling utama dalam menjamin hak-hak masyarakat adalah dengan penerapan keadilan sejagat.
Dalam hal ini, secara umumnya, Ibn Qayyim pernah menyebut bahawa:: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ia bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.[4]

Masyarakat sivil adalah masyarakat yang sedar dan tahu akan objektif, potensi dan falsafah hidupnya. Masyarakat sivil juga merupakan masyarakat yang berusaha untuk memartabatkan dirinya dan apa-apa yang berada disekelilingnya. Dalam membangunkan masyarakat sedemikian, maka hak-hak asasi bagi setiap manusia perlu dipenuhi.

Kisah Robinson Crusoe yang terdampar di sebuah pulau meyaksikan perihal pentingnya akan keperluan bagi seseorang manusia itu terjaga sebelum seseorang manusia itu benar-benar dapat mengoptimumkan fungsi manusiawinya yang lebih kompleks. Kita dapat lihat melalui kisahnya bagaimana keperluan-keperluan asasi (makanan, tempat tinggal, peraturan) dapat menjamin kebebasan dan membuka ruang intelektual dalam hidupnya di pulau tersebut.

Hal ini juga pernah disebut oleh Prof. Tariq Ramadan (2012) yg menyatakan bahawa: “Any society that does not guarantee the condition for survival and life of all, education for all and the rule of law to defend individual freedom is a society that fails to respect basic human right. It deprives its member of their potential and their powers..”.[5]
[Setiap masyarakat yang tidak menjamin kondisi untuk kelangsungan hidup dan kehidupan sejagat, pendidikan untuk semua dan peraturan untuk membela kebebasan individu adalah masyarakat yang gagal untuk menghormati hak asasi manusia. Ini menghalang  potensi dan kekuatan mereka..]

Manusia yang lapar, manusia yang bergelendangan dan manusia yang buta huruf akan disibukkan dengan kekurangan dirinya yang terus menerus memaksa dirinya berikhtiar untuk  mencari keperluan-keperluan yang mereka perlukan. Seringkali hal ini membuatkan mereka tiada masa malahan tidak mampu memikirkan soal-soal yang lebih besar. Jadi dalam hal ini, tugas pihak yang berautoriti adalah memastikan keperluan-keperluan ini terjaga demi memperkasakan setiap individu agar potensi mereka dapat di maksimumkan.

Kedua-dua pihak (kerajaan dan masyarakat sivil) perlu berganding bahu bagi memastikan perkara-perkara asas tersebut dapat dipenuhi dalam masyarakat demi menyuburkan masyarakat sivil yang progresif.

Jesteru usaha-usaha memenuhi keperluan asasi manusia dalam masyarakat, menyuburkan kebebasan, keadilan sejagat dan hak asasi manusia merupakan usaha-usaha yg mesti dijalankan dalam masyarakat tidak kiralah jika ia melibatkan NGO, badan kerajaan ataupun parti-parti politik.


[1] Edward Shils (1992), “The Virtue of Civil Society”, Government and Opposition, vol.26, no.1, p.3.
[2] Jasser  Auda, & Krause, W. (2007). ‘Civil’ does not have to be ‘Irreligious’.  Civility, Security and Islamism.
(1 ed., Vol. 1, p. 17).
Retrieved from http://www.jasserauda.net/modules/Research_Articles/pdf/Arches_for_website.pdf
[3] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah
[4] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail.
[5] Tariq Ramadan(2012), The Quest For Meaning, London: Penguin Group, p. 57

No comments:

Post a Comment