Social Icons

Thursday, December 1, 2011

تربيه <----What is Significance of This?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, to all my readers!

Let me use Malay language this time...

Tarbiah. Apabila disebut tarbiah, maka ramai yang saya kira sudah tidak asing dgn perkataan ini. Namun sejauh mana masyarakat umum menerimanya sekaligus memandangnya sebagai satu kepentingan dlm kehidupan.
Teringat kata-kata salah seorang pendokong Ikhwanul Muslimin, "tarbiah itu bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiah."


Dalam penulisan pada kali ini, saya ingin berbicara mengenai satu perkara yang sangat penting dan signifikan dalam meneruskan ranjau hidup ini iaitu tarbiah. Saya tidak mahu bercakap mengenai kepentingan tarbiah kerana saya meyakini sekiranya ditanya adakah tarbiah itu penting, maka tiada sesiapa yang dapat menyangkal tentang kepentingannya dalam kehidupan kita. Semua mengetahui bahawa tarbiah itu mengajar kita untuk mengenali Allah, mengenali diri kita sebagai muslim, mengajar kita bahawa agama ini bukan hanya di masjid-masjid tetapi agama ini berperanan di mana-mana. Tarbiah juga mengajar kita untuk membuat kebajikan sesama manusia dan berjuang untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Tarbiah juga mendidik kita supaya beradab sama ada ketika sedang berada di atas atau di bawah di samping menjernihkan minda kita supaya dapat mengenali Islam secara tepat bukannya ikutan semata-mata. Tarbiahlah yang membentuk siapa kita.


Menjuzuk-juzukkan tarbiah


Ciri-ciri yang wajib ada pada tarbiah itu ialah ciri-ciri yang ada pada Islam. Justeru, tarbiah itu bersifat rabbaniyyah, syumuliyyah, waqieyyah dan sebagainya. Tiada pemisahan pada mana-mana elemen pada tarbiah kerana tarbiah berasal daripada Islam. Sebagaimana seorang bayi yang keluar dari rahim ibunya, maka bayi tersebut memiliki ciri-ciri manusia seperti yang terdapat pada ibunya. Begitu juga dengan tarbiah.

Disebabkan tarbiah itu bersifat syumul ataupun holistik, sudah pasti tarbiah itu merangkumi semua aspek dan tiada yang terkecuali. Lalu, para ulama mengajar kita bahawa wujudnya tarbiah ruhiyyah, jasadiyyah, akliah, harakiyyah, siasiyyah, askariyyah dan lain-lain lagi. Setiap muslim tidak dibenarkan mengambil bentuk tarbiah yang digemarinya sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain kerana tindakan tersebut seolah-olah telah menafikan sifat syumul yang wujud pada tarbiah.

Disebabkan terdapat segelintir yang hanya mengambil tarbiah ruhiyyah, maka mereka telah bertalak tiga dengan urusan dunia yang lain. Malah Imam Hasan al Banna sendiri telah berhadapan dengan kumpulan sufi yang tidak mengendahkan urusan kaum muslimin di Mesir pada satu ketika dahulu. Lalu beliau membetulkan salah faham tersebut dengan menggerakkan pertubuhan Ikhwanul Muslimin.

Manakala disebabkan wujudnya segelintir yang hanya memberi penekanan dalam soal akliah, maka kedapatan ramai profesor-profesor, cendikiawan-cendikiawan dan cerdik pandai yang sekadar berteori di bilik-bilk mereka. Mereka langsung tiada masa untuk bersama dengan umat Islam yang lain di arena realiti dan praktikal. Pemisahan akliah dan ruhiyyah menyebabkan manusia seperti Taha Husin, Muhammad Arkoun, Marx dan banyak lagi mengambil jalan untuk bermusuh dengan agama lantaran takjub dengan akal yang dimiliki.

Tarbiah yang diperkenalkan Islam tidaklah begitu sifatnya. Ia tidak boleh dijuzuk-juzukkan sewenang-wenangnya kerana akibatnya sangat berbahaya dan memudaratkan semua pihak.

Oleh yang demikian, ruhiyyah, akliah, harakiyyah, siayiyyah, jasadiyyah dan beberapa lagi mestilah diintegrasikan supaya kesannya benar-benar berkesan.

Mana-mana pihak yang hanya berkenan dengan ruhiyyah ataupun akliah semata-mata dan dalam masa yang sama menolak harakiyyah dan siyasiyyah merupakan puak yang rugi dan merugikan. Begitu juga dengan pihak yang hanya berkenan dengan harakiyyah dan siasiyyah semata-mata tetapi menolak ruhiyyah dan akliah. Mereka juga termasuk golongan yang rugi dan merugikan.

Awwaluddin, ma'rifatus siyasah?


Terdapat ulama yang menyatakan bahawa awal agama itu mengenali Allah (awwaluddin ma'rifatullah). Oleh sebab itu, kita dapat melihat banyak ayat al Quran sejak surah al Fatihah sehingga surah an Naas mengajar manusia mengenali tuhannya dengan lebih dekat. Lalu, kita deperkenalkan oleh ALlah dengan nama-nama-Nya yang indah beserta sifat kesempurnaan yang dimiliki-Nya.

Lantaran pengenalan yang dimulakan oleh Allah dan ditambah lagi dengan ajaran daripada nabi saw, maka kita telah membentuk paradigma yang bersumberkan wahyu dan seterusnya bertindak selaku seorang pendokong ajaran Allah. Semuanya disebabkan kita menghayati bahawa permulaan agama itu ialah mengenali Allah. Ini juga yang diberi penekanan oleh tarbiah Islamiah. Inilah tasawwurnya yang paling teras.

Namun begitu, suasana pada hari ini agak berlawanan apabila seolah-olah kedapatan segelintir manusia yang karam dalam dunia pergerakan dan politik tanpa kefahaman yang telus dan sebenar-benarnya telah menukar teori ini kepada awwaluddin ma'rifatus siyasah, awal agama itu ialah mengenali politik.

Akibatnya, lahir politikus-politikus dan manusia haraki yang tidak menjaga hubungan dengan Allah, tidak memelihara keberkatan dalam pergerakan dan organisasi dan mereka juga hanya melihat sunnatullah semata-mata, tiada lagi syariatullah.

Lompat parti angkara kesilapan tarbiah


Saya pernah menyatakan kepada rakan-rakan saya yang lain bahawa antara sebab utama berlakunya lompat parti dalam Parti Keadilan Rakyat ialah kerana masalah tarbiah dalam parti tersebut.

Saya tidak memfokuskan kepada tarbiah ruhiyyah, kerana PKR sememangnya sebuah badan yang plural-liberal dan ciri rabbaniyyah tersangat kabur pada parti tersebut. Apa yang saya maksudkan ialah mengenai flow ataupun step-step dalam tarbiah.

Tarbiah Islamiah bermula dengan taarif, takwin dan seterusnya tanfiz. Sebenarnya itu juga step dalam tarbiah 'isme-isme' seperti komunisme dan nasionalisme. Mereka mempunyai proses-proses yang tertentu. Tetapi tidak pada PKR.

Kebanyakan yang berada dalam PKR berasal dari kumpulan dan parti yang lain dan tanpa mengikut step yang khusus, mereka terus menjadi pelaksana (tanfiz). Lalu akibatnya sebagaimana yang kita lihat iaitu tragedi lompat parti yang istikamah. Justeru, tradisi step dan flow dalam tarbiah Islamiyyah ini mestilah dipertahankan oleh semua pihak.


Allah knows Best!
Edited and Adapted from: 
http://www.marwanbukhari.com/2010/02/mengenai-tarbiah-awwaluddin-marifatus.html

-Islam itu Indah-
Islam is not merely a Symbol, but it is absolutely the Way of Life

2 comments:

  1. pendapat anda dgn kumpulan NGO lai yg mementingkn tarbiyyah cthnya, isma, konsis, & sbgainya?

    ReplyDelete
  2. Maaf, xdpt nak menjawab soalan. Kalau boleh spesifikkan lagi soalan. Soalan tersebut agak general, ana xmampu nak jawab sebab x tahu apa yang enti mahu tahu.

    Secara kasarnya, mana2 gerakan dakwah, (ngo, jemaah, parti dll), haruslah mempraktikkan Tarbiah secara menyeluruh, bukan sekadar mengambil sejuzuk yg diminatinya, sekaligus membuang juzuk lain yg diaggapnya remeh@ jijik.

    ReplyDelete