Social Icons

Saturday, January 4, 2014

Antara Hormat dan Kejahilan

Kerendahan hati, berlapang dada dan hormat-menghormati merupakan kualiti moral yang tidak asing lagi bagi manusia secara umumnya. Sikap-sikap tersebut disokong dan ditekankan dalam mana-mana kepercayaan agama dan pegangan moral, dianggap oleh umum sebagai tapak bagi setiap manusia dalam mendepani kepelbagaian samada dalam kelompok sendiri ataupun ketika berdepan dengan musuh.


Mutakhir ini, kepelbagaian merupakan realiti yang terkadang mencemaskan dan terkadang membingungkan meskipun umumnya maklum akan kepentingan kepelbagaian sebagai jambatan menuju kemajuan, dan umum memeluknya sebagai fitrah di alam ini.

Dalam kepelbagaian ini, kenisbian adalah satu tabi’e yang tak terelakkan. Kenisbian ini bertitik tolak daripada pegangan dan pengalaman hidup yang berbeza bagi setiap manusia, walaubagaimanapun, memerlukan satu sikap yang mutlak sebagai batu asas agar kepelbagaian ini dapat diuruskan supaya hubungan antara sesama manusia dapat di seimbangkan secara harmoni. Di situlah timbulnya kepentingan moral yang disepakati manusia.


Menyentuh soal berlapang dada, ramai yang menyangka bahawa berlapang dada bermakna senyap dalam ketidaksetujuan, agar keharmonian terus dipertahankan. Salah tanggapan ini telah menjadi barah apabila diam yang diamalkan membawa kepada ketidakpedulian. Berlapang dada bukanlah bermakna kita perlu mengorbankan diri kita dan merelakan ketidaksetujuan kita terhadap sesuatu dimatikan, akan tetapi berlapang dada memerlukan sikap sabar yang tinggi untuk menyatakan ketidaksetujuan melalui ekspresi yang rasional dan tidak bersifat paksaan.

Kerendahan hati sepatutnya tidak menjadikan kita seorang yang pasif, akan tetapi ianya memerlukan kita bersikap proaktif dalam berdepan dengan kepelbagaian. Kerendahan hati tidak bermakna kita tidak perlu ambil peduli dengan kritikan dan pandangan orang lain, bahkan kerendahan hati menuntut kita untuk peduli; mendengar dan mengkoreksi diri secara intelektual mahupun spiritual.

Begitu juga dengan hormat. Hormat bukanlah bermakna kita perlu tunduk dan terikut-ikut dengan sesiapa yang kita hadapi; hormat adalah apabila kita melayan seseorang itu sebagai subjek, sebagai manusia yang setaraf kedudukannya dan layak mendapat layanan yang sama dengan kita.

Ianya tidak dapat lari daripada memperkatakan soal adab. Adab disini bermaksud kita mengiktiraf tempat duduk (taraf atau martabat) sesuatu ditempatnya yang betul. Hormat dan adab akan wujud apabila kita menyatakan apa yang kita percaya walaupun kita tahu pegangan dan pendapat orang yang kita hadapi itu berbeza, kerana kita tahu bahawa mereka yang berkhilaf dengan kita dapat menghadam dan membalas hujahan kita sekaligus membuka jalan kearah pencarian kebenaran yang berterusan.

Timbul persoalan, jikalau sedemikian bagaimana kita mahu mengekalkan keharmonian andai perbezaan dan salah faham terus berpanjangan? Jawapannya ada pada huraian di atas. Sebenarnya, jika kita membayangkan keharmonian itu sebagai satu keadaan yang homogen (seragam) atau ketundukan kepada satu bentuk pemikiran (atau konformisme), maka keharmonian tersebut adalah satu kepalsuan.

Dalam kita saling berkhilaf, pasakkan dalam dada bahawa khilaf kita adalah pada idea dan pendapat, bukan pada individu. Justeru itu, sebarang cacian, celaan, ad hominem adalah satu perbuatan yang perlu kita tinggalkan kerana perbuatan itulah yang menampakkan ketidaksetujuan seolah-olah suatu dosa yang menyesakkan. 

Kita juga perlu menjauhi daripada menganggap manusia sebagai objek ataupun menganggap seseorang sebagai lebih rendah dari diri kita disebabkan perbezaan pandangan yang wujud. Tidak bersetuju bukanlah bermakna melawan, dan mempersoalkan tidak semestinya kita tidak percaya.

Setiap orang melihat dunia melalui jendelanya yang tersendiri. Orang pedalaman melihat hutan tidak sama dengan orang bandar, begitu juga pengilang, saintis, pemodal, pejuang alam sekitar dan lain-lain; masing masing punyai konsepsi yang berbeza tentang hutan. Begitu juga dalam soal-soal yang lebih besar seperti keadilan, kenegaraan, ekonomi, dan perjuangan.

Justeru bagaimanakah mahu mengharmonikannya? Dengan ketidakpedulian yang membawa kepada kejahilankah? Sudah tentu tidak.

Bukalah jendela kita, keluar dan selamilah lautan yang paling dalam kerana pandangan pada permukaan tidak cukup bagi kita untuk menemukan kebenaran. Berkhilaflah, berdebatlah, dan berdialoglah; moga kebenaran menemukan kita. 


Diterbitkan di laman sesawang http://www.utam.net/ pada 30 Disember 2013.

No comments:

Post a Comment