Oleh: Shuhaib Ar Rumy Ismail
Mahasiswa dianggap sebagai satu
sosok yang bertenaga, penuh dengan cita-cita serta gopoh dalam melakukan apa
yang mereka kehendakkan. Kerana itu mahasiswa sering dijadikan kekuatan bagi
mana-mana pihak yang mahu meluaskan kepentingan mereka. Kebanyakan persatuan
dan masyarakat sivil yang tumbuh di Malaysia khususnya ditubuhkan oleh
mahasiswa, atau paling tidaknya sentiasa aktif merekrut ahli-ahli baru dari
kalangan mahasiswa.
Sejak zaman-berzaman, khususnya
era pasca merdeka, slogan perjuangan mahasiswa sering menjadi laungan di
kampus-kampus. Bermula dari zaman perjuangan mahasiswa UM dengan ‘student
union’, mahasiswa pro-sosialisme, kebangkitan mahasiswa Islam di zaman Anwar
Ibrahim, hinggalah perjuangan mahasiswa pasca reformasi. Namun apakah yang
dikatakan sebagai perjuangan mahasiswa tersebut?
Siapakah Mahasiswa?
Untuk itu kita perlu melihat
apakah fungsi mahasiswa yang sebenar dan apakah yang membezakan mahasiswa dengan
golongan yang lain. Pertamanya, mahasiswa sangat sinonim dengan pelajar khasnya
pelajar yang menuntut di peringkat sarjana.
Makanya kita tidak dapat lari
dari bercakap soal ilmu. Mahasiswa bukanlah sekadar pelajar bahkan mereka
adalah warga ilmu yang mewakili masyarakat yang sedar akan kepentingan ilmu
serta berpenat lelah dalam hari-hari mereka; mencari, membahas serta mengkaji
ilmu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mahasiswa sebagai cerminan tahap
keilmuan bagi sesebuah negara.
Satu lagi aspek yang membezakan
mahasiswa dengan orang biasa adalah semangat kepemudaannya. Pemuda sering
dijunjung sebagai tonggak kekuatan sesebuah bangsa. Malahan dalam ketamadunan
barat, entiti kepemudaan sering dianggap sebagai puncak segala keupayaan,
kekuatan dan ketinggian seseorang manusia. Pemuda dianggap sebagai ajen
perubahan, revolusi dan idealisme; menunjukkan bahawa pelbagai cita-cita yang
ada dalam diri manusia mampu dicapai dengan semangat dan cita kepemudaan.
Oleh itu, jelas disini bahawa tugas
mahasiswa adalah sebagai pengemban budaya ilmu. Semangat kepemudaan mahasiswa
sepatutnya disalurkan kepada pemerkasaan budaya ilmu yang pada akhirnya dapat
meneruskan kekuatan tamadun sendiri.
Budaya Ilmu
Kekuatan sesebuah tamadun
bergantung kepada tahap ketinggian ilmu dalam tamadun itu sendiri. Ilmu adalah
kekuatan sesebuah tamadun yang bersifat kekal dan berterusan. Kekuatan politik,
ekonomi mahupun ketenteraan adalah bersifat sementara dan tidak mampu
mempengaruhi zaman sesudahnya.
Ambil sahaja contoh bagaimana
tamadun Yunani yang hingga ke hari ini masih kekal pengaruhnya dalam bidang
falsafah, sains dan matematik. Begitu juga kerajaan Monggol yang pada suatu
ketika dahulu merupakan kuasa ketenteraan yang paling hebat namun akhirnya
terpaksa menyesuaikan diri dengan keilmuan tamadun Cina dan tamadun Islam.
Pembudayaan ilmu akan terwujud
apabila setiap lapisan masyarakat melibatkan diri samada secara langsung
mahupun tidak dalam kegiatan keilmuan di setiap kesempatan yang ada. Segala
tindakan diputuskan dan dilaksanakan atas dasar keilmuan, bukan atas dasar
kebiasaan ataupun ikut-ikutan. Dalam masyarakat yang membudayakan ilmu;
keutamaan, bantuan, kemudahan dan pengiktirafan akan diberikan kepada mana-mana
pihak yang melibatkan diri mencari, mengkaji dan menyebarkan ilmu pengetahuan.
Feudalisme dan Konformisme
Masyarakat Malaysia kini
kebanyakannya masih memegang paradigma feudalisme dan konformisme. Feudalisme adalah
satu faham yang menganggap bahawa manusia dilahirkan berkelas-kelas, ada
golongan yang lebih tinggi daripada golongan yang lain.
Feudalisme menuntut penyembahan
kepada entiti yang dinamakan sebagai ketua, menganggap bahawa ketualah
segalanya. Paradigma yang menganggap bahawa hanya ketua dapat merobah,
mengetahui dan mengurus segalanya juga merupakan warisan feudalisme yang masih
melekat kuat dalam pemikiran masyarakat Melayu.
Ironinya dalam lapangan politik,
masyarakat kita mengamalkan demokrasi yang mengganggap rakyat keseluruhannya
adalah setaraf malah kuasa pemerintahan juga berada ditangan mereka. Pemikiran
feudalisme dan pengamalan demokrasi adalah satu bentuk realiti yang aneh kerana
kedua-duanya merupakan hubungan yang saling berlawanan. Maka disebabkan itulah
masyarakat kita tempang berjalan menuju ke arah kemajuan yang hakiki.
Faham konformisme bermaksud suatu
perlakuan mengikut-ikut atau taqlid kepada realiti yang sedia ada. Konformisme
boleh terjadi dalam aspek persatuan, pemikiran, gaya hidup dan lain-lain. Konformisme
berlaku akibat tiadanya pembudayaan ilmu dan kesedaran akan hakikat diri. Manusia
dilahirkan unik, punyai citra hidup yang tersendiri dan mampu untuk
berdikari. Konformisme bakal melahirkan
manusia yang seragam, tidak bersikap kritis malah tidak berkiblatkan ilmu.
Kedua-dua paradigma ini tidak
mustahil sengaja dipelihara dan dijadikan budaya secara tidak sedar dalam
negara ini oleh pemerintah demi meneruskan legasi penjajahan bentuk baru, iaitu
penjajahan minda. Maka kaum-kaum pandir yang terdiri daripada elit pemerintah
ini akan terus dapat mengekalkan kekuasaan mereka dan memperbodohkan rakyat
yang sudah tertawan mindanya.
Sebagai mahasiswa, pertamanya
kita perlu sedar lantas keluar daripada paradigama ini, keluar dari trend
kebiasaan dalam berfikir dan bertindak yang menjurus kepada paradigma feudal
dan konformis. Sebagai mahasiswa, perubahan yang pertama yang mesti dilakukan
adalah melakukan islah terhadap diri sendiri, dalam kelompok mahasiswa sendiri.
Budaya ilmu mestilah dipupuk dalam kalangan mahasiswa sendiri.
Antara masalah yang berlaku
akibat paradigma yang telah disebutkan adalah lahirnya mahasiswa yang bersikap
tidak kritikal dalam mendepani isu semasa. Dalam kalangan pejuang mahasiswa
sendiri, idealisme perjuangan mereka masih tidak jelas, terkadang seperti
lalang yang hanya mengikut rentak permainan trend semasa.
Keluar dari kongkongan
politikus
Mahasiswa sejak akhir-akhir ini
sering bersikap mengikut-ikut apa yang diperkatakan oleh ahli politik. Sebagai
contoh isu PTPTN, mahasiswa hanya berani menuruti langkah politikus terutamanya
daripada pihak pembangkang hingga terkadang mereka dilihat sebagai tunggangan
parti politik. Mahasiswa tidak mampu berdiri sendiri; tidak mampu melihat,
mengeluar serta menyelesaikan permasalahan yang wujud di sekitar mereka.
Inilah natijah daripada
feudalisme yang telah melahirkan sikap kebergantungan yang melampau dalam
masyarakat melayu samada dalam aspek politik, pengetahuan, ekonomi dan
sebagainya. Lahirlah masyarakat yang hanya tahu mengangguk kepada pemerintah
dan ketua-ketua daripada parti politik. Malah setiap perjuangan terpaksa
diletakkan kebergantungannya kepada kuasa-kuasa politik tidak kira pemerintah
mahupun pembangkang.
Amat menghairankan apabila
mahasiswa sebagai masyarakat ilmu meletakkan kredibiliti perjuangan mereka
ditangan politikus. Sepatutnya mahasiswa dijadikan pusat rujukan bagi
masyarakat dalam menentukan sesuatu perkara, bukannya kepada politikus yang
sememangnya kaya dengan retorik populis mereka.
Mahasiswa perlu lebih mandiri
dalam pergerakan mereka, kemudian mendidik masyarakat mengangkat budaya ilmu
dan lebih berdikari dalam kehidupan seharian mereka. Paradigma "manusia dahulu
sebelum negara”, perlu dibina bagi memastikan inovasi dalam bidang kenegaraan
serta kemandirian dalam perjuangan mahasiswa dapat dicapai.
Intelektual Massa
Mahasiswa juga perlu menjadi
seorang intelektual atau rausyanfikr. Intelektual berbeza dengan intelegensia.
Intelektual tidak hanya selesa dikencah akademik dan terasing dengan realiti
semasa. Intelektual tugasnya meneliti, menyuarakan, menganalisa dan
menyelesaikan permasalahan yang berlaku disekitar mereka.
Masalah yang diteliti bukan
sekadar bermain disekitar isu kemahasiswaan sahaja, malah perlu mencapah kepada
isu yang lebih besar seperti membela nasib kaum mustad’afin, menambahbaik
sistem ekonomi dan negara serta mencipta teori-teori baru yang berguna buat
ketamadunan Melayu serta dunia amnya.
Tugas mahasiswa adalah mendalami,
mencipta serta memulangkan semula ilmu untuk kepentingan masyarakat. Dan semua
ini tidak lain memerlukan iltizam yang kuat untuk mengharungi kencah keilmuan
selain bersikap hormat dan kritis terhadap sumber-sumber ilmu yang ada.
Mahasiswa juga tidak boleh hanya
tersekat pada sekadar wacana di dalam negara sahaja, bahkan idea, perdebatan dan
permasalahan antarabangsa juga perlu diambil kira. Jauhi sikap selektif dalam
memilih wacana. Mahasiswa perlu melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai isu
yang ada dan tidak hanya berputar pada wacana Islam-Ikhwan sahaja, bahkan perlu
melangkau isu-isu yang timbul daripada peradaban dan masyarakat lain bagi
mematangkan pemikiran mahasiswa.
Pempribumian ilmu dalam
menghadapi globalisasi
Mahasiswa sebetulnya perlu
menjadi pencipta ilmu yang menggunakan wacana dan wahana alam sekeliling,
sesuai dengan budaya, pandangan alam dan demografi setempat. Era globalisasi
ini memperlihatkan kemasukan beberapa pandangan alam yang asing ke dalam
masyarakat kita. Pelbagai konsep-konsep asing dipaksakan ke atas intelegensia
di negara kita sehingga mereka silau dengan pencapaian, kemegahan budaya dan
tradisi keilmuan asing sedang keilmuan kita yang sangat kaya dilupakan.
Adalah sesuatu yang membimbangkan
apabila intelektual muda kini menerima tanpa bersikap kritis terhadap konsep
yang berasal dari ketamadunan asing yang dianggap mereka sebagai universal,
tetapi pada masa yang sama memandang jelek kepada khazanah keilmuan sendiri
yang langsung tidak digalinya. Ini merupakan satu infiltrasi tamadun melalui
penyusupan konsep-konsep asing yang pada akhirnya bakal membunuh ketamadunan
yang sedang kita bina.
Mahasiswa perlu sedar akan
hakikat ini; bersikap kritis dalam menerima ilmu dan juga tidak melupakan
khazanah bangsa sendiri yang sebenarnya kaya serta dekat dengan jiwa dan
hakikat diri.
Satu persoalan yang menarik untuk
kita tanya dan fikirkan bersama; sudah berakhirkah ilmu dalam acuan kita
sendiri?
Mahasiswa dan masyarakat sivil
Tugas memperkasakan masyarakat
kita sebenarnya berada ditangan ahli ilmu, yang sepatutnya mahasiswa turut
terkandung didalamnya. Merobah masyarakat mahupun negara ke arah yang lebih
baik bukanlah dengan hanya menukar kerajaan yang memerintah, akan tetapi
pengakaran keilmuan dan kesedaran yang tinggi dalam setiap warga dalam sesebuah
negara adalah kunci ke arah kegemilangan sesebuah negara. Itulah inti bagi
demokrasi, yakni masyarakat sivil sebagai kekuatan yang memandu negara menjadi
lebih baik.
Oleh itu, mahasiswa perlu menjadi
ejen yang menguatkan masyarakat sivil dalam sesebuah negara. Nilai-nilai
seperti toleransi, kerjasama, kesukarelawanan, dan pemerkasaan perlulah
diketengahkan dalam memperkasakan masyarakat sivil. Keterlibatan aktif
mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat sivil sedikit sebanyak menunjukkan
bahawa mahasiswa tidak terisolasi dalam dunianya sendiri.
Tugas memberdayakan masyarakat
bukanlah tugas yang bersifat suka-suka ataupun sekadar one-off, bahkan
ianya perlu berterusan dan memerlukan perancangan yang rapi serta konstruktif.
Untuk itu mahasiswa perlu memerah idea dan membina model perubahan yang
bersifat jangka masa yang panjang agar perubahan dapat dilakukan dengan lebih
progresif, bukannya sekadar mengikut-ikut trend semasa.
Revolusi minda
Revolusi yang sepatutnya
diidamkan oleh aktivis mahasiswa bukanlah hanya sekadar mengumpulkan ribuan
manusia diatas jalanraya. Revolusi ini sering menatijahkan kegagalan, bukan
kemajuan massa. Apalah gunanya mengumpulkan angka-angka kosong, jika berjaya
menggulingkan kerajaan sekalipun selepas itu, pembentukan semula sistem yang baru
pasti akan menemui jalan buntu.
Revolusi yang sebenar adalah
revolusi minda, membebaskan manusia dari penjajahan minda akibat ketidakmatangan
diri hasil dari lemahnya pengetahuan dan kekuatan diri, secara intelek mahupun
kendiri.
Menyedarkan masyarakat sehingga
mereka boleh berfikir luar dari kerangka sistem yang sedia ada merupakan satu
kejayaan yang sangat bernilai bagi sesebuah revolusi minda. Namun begitu
cita-cita ini pasti tidak akan tercapai andai mahasiswa sendiri masih terikat
dengan logik sistem yang tersedia ada.
Semua ini memerlukan daya
kesungguhan yang tinggi daripada mahasiswa sendiri untuk mendalami akar-akar
pemikiran yang mencengkam sistem nilai zaman ini.
Mengharmonikan Ilmu dan nilai
Pengejaran ke arah logik dan ilmu
yang kaku takkan selamanya mampu membuatkan manusia menjadi manusia. Manusia
itu terbentuk atas apa yang difikir serta diamalkannya. Justeru itu, setiap
teori dan perbahasan ilmu perlulah disandarkan kepada nilai agar ilmu yang
dikejar bermakna buat diri dan masyarakat.
Rasional sistem semasa, walau
sebaik manapun ia takkan dapat menjamin kelangsungan hidup manusia yang
diinginkan andai pengendali sistem tersebut gagal memahami dan memanfaatkannya
sebaik mungkin melalui pengamalan nilai-nilai terbaik yang dipercayai oleh
masyarakat umumya. Seburuk manapun sistem yang diwujudkan dalam sesebuah
masyarakat, jika kualiti manusia yang hidup di dalamnya hebat maka sistem
tersebut lama-kelamaan bakal diubah dan diperbaiki dari semasa ke semasa
menjadi sistem yang lebih baik.
Kesedaran mengenai nilai dan
kualiti diri manusia inilah yang perlu ditanam dalam diri mahasiswa supaya
dapat membentuk insan yang berkualiti, berautonomi serta dapat memadukan antara
kebenaran dan pengetahuan. Ilmu yang diperolehi tiada gunanya andai tidak dapat
membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Fakta, maklumat dan analisa
jika tidak dapat disepadukan dengan ruh dan nilai yang dipercayai hanyalah akan
menjadikan manusia tiada bezanya dengan keldai yang membawa lembaran-lembaran
kertas.
Kesepaduan ilmu pengetahuan ke
dalam aspek nilai dan ruh tanpa menjuzuk-juzukkan mereka itulah yang
memanusiakan manusia.
Wallahu’alam.
Bacaan lanjutan:
1. Immanuel Kant (1784), What is Enlightenment
2. Shaharir Mohamad Zain (2012), Berakhir Sudahkah Ilmu Dalam
Acuan Sendiri?
3. Syed Hussein Alatas (2009), Intelektual Masyarakat Membangun
4. Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), Risalah Untuk Kaum
Muslimin
5. Wan Mohd Nor Wan Daud (1991), Budaya Ilmu Satu Penjelasan
6. Zul Fikri Zamir (2012), Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan
Kilang
No comments:
Post a Comment