Kerendahan hati, berlapang dada
dan hormat-menghormati merupakan kualiti moral yang tidak asing lagi bagi
manusia secara umumnya. Sikap-sikap tersebut disokong dan ditekankan dalam
mana-mana kepercayaan agama dan pegangan moral, dianggap oleh umum sebagai
tapak bagi setiap manusia dalam mendepani kepelbagaian samada dalam kelompok
sendiri ataupun ketika berdepan dengan musuh.
Mutakhir ini, kepelbagaian
merupakan realiti yang terkadang mencemaskan dan terkadang membingungkan meskipun
umumnya maklum akan kepentingan kepelbagaian sebagai jambatan menuju kemajuan,
dan umum memeluknya sebagai fitrah di alam ini.
Dalam kepelbagaian ini, kenisbian
adalah satu tabi’e yang tak terelakkan. Kenisbian ini bertitik tolak daripada
pegangan dan pengalaman hidup yang berbeza bagi setiap manusia,
walaubagaimanapun, memerlukan satu sikap yang mutlak sebagai batu asas agar
kepelbagaian ini dapat diuruskan supaya hubungan antara sesama manusia dapat di
seimbangkan secara harmoni. Di situlah timbulnya kepentingan moral yang disepakati
manusia.
Menyentuh soal berlapang dada,
ramai yang menyangka bahawa berlapang dada bermakna senyap dalam
ketidaksetujuan, agar keharmonian terus dipertahankan. Salah tanggapan ini telah
menjadi barah apabila diam yang diamalkan membawa kepada ketidakpedulian.
Berlapang dada bukanlah bermakna kita perlu mengorbankan diri kita dan
merelakan ketidaksetujuan kita terhadap sesuatu dimatikan, akan tetapi
berlapang dada memerlukan sikap sabar yang tinggi untuk menyatakan
ketidaksetujuan melalui ekspresi yang rasional dan tidak bersifat paksaan.
Kerendahan hati sepatutnya tidak
menjadikan kita seorang yang pasif, akan tetapi ianya memerlukan kita bersikap proaktif
dalam berdepan dengan kepelbagaian. Kerendahan hati tidak bermakna kita tidak perlu
ambil peduli dengan kritikan dan pandangan orang lain, bahkan kerendahan hati
menuntut kita untuk peduli; mendengar dan mengkoreksi diri secara intelektual
mahupun spiritual.
Begitu juga dengan hormat. Hormat
bukanlah bermakna kita perlu tunduk dan terikut-ikut dengan sesiapa yang kita
hadapi; hormat adalah apabila kita melayan seseorang itu sebagai subjek,
sebagai manusia yang setaraf kedudukannya dan layak mendapat layanan yang sama dengan
kita.
Ianya tidak dapat lari daripada
memperkatakan soal adab. Adab disini bermaksud kita mengiktiraf tempat duduk
(taraf atau martabat) sesuatu ditempatnya yang betul. Hormat dan adab akan wujud
apabila kita menyatakan apa yang kita percaya walaupun kita tahu pegangan dan
pendapat orang yang kita hadapi itu berbeza, kerana kita tahu bahawa mereka
yang berkhilaf dengan kita dapat menghadam dan membalas hujahan kita sekaligus
membuka jalan kearah pencarian kebenaran yang berterusan.
Timbul persoalan, jikalau
sedemikian bagaimana kita mahu mengekalkan keharmonian andai perbezaan dan
salah faham terus berpanjangan? Jawapannya ada pada huraian di atas.
Sebenarnya, jika kita membayangkan keharmonian itu sebagai satu keadaan yang
homogen (seragam) atau ketundukan kepada satu bentuk pemikiran (atau
konformisme), maka keharmonian tersebut adalah satu kepalsuan.
Dalam kita saling berkhilaf,
pasakkan dalam dada bahawa khilaf kita adalah pada idea dan pendapat, bukan
pada individu. Justeru itu, sebarang cacian, celaan, ad hominem adalah
satu perbuatan yang perlu kita tinggalkan kerana perbuatan itulah yang
menampakkan ketidaksetujuan seolah-olah suatu dosa yang menyesakkan.
Kita juga
perlu menjauhi daripada menganggap manusia sebagai objek ataupun menganggap
seseorang sebagai lebih rendah dari diri kita disebabkan perbezaan pandangan
yang wujud. Tidak bersetuju bukanlah bermakna melawan, dan mempersoalkan tidak
semestinya kita tidak percaya.
Setiap orang melihat dunia
melalui jendelanya yang tersendiri. Orang pedalaman melihat hutan tidak sama
dengan orang bandar, begitu juga pengilang, saintis, pemodal, pejuang alam
sekitar dan lain-lain; masing masing punyai konsepsi yang berbeza tentang hutan.
Begitu juga dalam soal-soal yang lebih besar seperti keadilan, kenegaraan,
ekonomi, dan perjuangan.
Justeru bagaimanakah mahu
mengharmonikannya? Dengan ketidakpedulian yang membawa kepada kejahilankah?
Sudah tentu tidak.
Bukalah jendela kita, keluar dan
selamilah lautan yang paling dalam kerana pandangan pada permukaan tidak cukup
bagi kita untuk menemukan kebenaran. Berkhilaflah, berdebatlah, dan berdialoglah;
moga kebenaran menemukan kita.
Diterbitkan di laman sesawang http://www.utam.net/ pada 30 Disember 2013.
No comments:
Post a Comment